Sabtu, 08 September 2012

Guna Sahabat Bagi Kita

Guna Sahabat Bagi Kita


1. Sahabat yang mengingati kita mengenai agama
Kadang kala, jika bukan ibu bapa susah untuk orang lain menjaga mengenai kita dengan cara yang kita boleh terima.  Kekadang apabila orang asing datang menasihati kita, mungkin kita tidak menerimanya tetapi jika nasihat itu datang dari seorang sahabat yang baik dengan kita mungkin kita lebih mendengar.  Sebab itu sahabat yang mampu mengajar kita, atau mengingati kita mengenai agama adalah sahabat yang perlu dicari.  Tidak semestinya, dia dalah seorang yang alim, ataupun lepasan ijazah agama, cukuplah sahabat yang kita mampu untuk berkongsi mengenai agama, lebih pada itu adalah bonus.
2. Sahabat yang boleh menjadi tempat untuk mengadu
Perempuan biasa mereka tiada masalah untuk mencari sahabat yang sebegini, mereka gemar berkongsi masalah, dan mereka boleh menerimanya kerana ia ada dalam sifat mereka.  Bagi lelaki, biasanya kita akan bersikap “take it like a man” atau TILAM.  Bila ada yang mengadu, mungkin kita akan memperkecilkan dia, mungkin kita akan suruh dia jadi lelaki tetapi tidak kita mencuba untuk memahami apa yang dilaluinya.  Mempunyai sahabat yang boleh kita percaya untuk dijadikan tempat mengadu sekurangnya boleh mengurangkan beban ibu kita, kerana apabila ada masalah sudah tentu si ibu lah yang akan mendengar dengan sabar.
3. Sahabat yang boleh mendorong kita menjadi lebih
Masalah apabila kita bersendirian di dalam satu tahap, kita tidak tahu sejauh mana kita boleh menjadi lebih.  Jika ada sahabat yang setaraf dengan kita dalam sesuatu perkara ia akan membina semangat untuk menjadi lebih antara satu sama lain. Sahabat sebegini mampu menjadi pendorong kita untuk menjadi lebih baik, dalam cara yang baik dan bukan untuk menjatuhkan satu sama lain sebaliknya untuk saling mengangkat satu sama lain ke tahap yang lebih baik.  Jika keterlaluan, sahabat boleh jadi lawan berwaspada, jika ada sahabat sebegini doronglah satu sama lain dan bukan saling menolak untuk melihat siapa yang jatuh terlebih dahulu, akhirnya kedua-duanya terjatuh.
4. Sahabat yang mencukupkan apa yang kurang
Sesiapa yang mempunyai kelebihan tunggangan maka hendaklah dia membantu memudahkan untuk orang-orang yang tidak mempunyai kenderaan. Sesiapa yang mempunyai bekalan lebih maka hendaklah dia membantu orang yang tidak mempunyai bekalan” – (Riwayat Muslim).  Ada masa kita yang ada lebih, ada masa ada yang kita kurang, jika kita mempunyai sahabat yang mampu membantu kita apabila kita perlukan, maka lebih mudahlah hidup kita.  Tetapi kita juga perlu mencukupkan apa yang sahabat kita kurang jika kita mampu.  Meminta sahaja, tanpa menghulur tidak kena juga kan?
Ini adalah antara jenis-jenis sahabat yang perlu kita cari, mungkin satu sahabat ada semua dan mungkin satu sahabat ada satu, yang mana pun carilah dan jadilah sahabat yang baik.  Selama aku hidup, baru 23 tahun, aku sudah jumpa pelbagai jenis orang yang aku panggil sebagai sahabat.  Ada yang baik, ada yang tidak tetapi itu semua kebiasaan, aku sendiri pun ada yang tidak elok.  Jenis-jenis diatas aku pernah mempunyai sahabat yang sedemikian, tetapi apabila masa berlalu masing-masing membawa jalan sendiri maka berkuranglah.
Pernah sekali dalam hidup aku, mempunyai sahabat yang ada keempat-empat, aku bersyukur sekurangnya pernah.  Sahabat datang dan pergi, dekat dan jauh, sekarang hilangnya sahabat sebegitu aku merasa tersangat rugi dan menyesal.  Tetapi mungkin inilah penanda kepada aku, bahawa lebih elok untuk menjadi daripada mencari.  Jadilah sahabat yang baik, bukan sahaja mencari sahabat yang baik, jadilah sahabat yang dicari, bukan sekadar mencari sahabat yang ingin dicari.  Sahabat adalah penting, selepas keluarga merekalah dalam hidup kita.